Followers

Friday, December 3, 2010

~ calon pilihan abah (part 6)

Malam tadi aku menghabiskan masa bersembang-sembang dengan Izzah, Zizi, Intan dan Semah sehingga lebih kurang jam 12 malam. Kemudian segera aku kembali ke bilikku, bersolat dan turun ke bawah menonton segala CD dan DVD yang ada. Aku melepaskan geram setelah lama berkurung di bilik. Pukul 4 pagi aku menunaikan solat subuh. Waktu musim-musim panas begini, waktu subuh masuk awal. Setelah itu, aku terus merebahkan diri di atas katil dan tidur dengan penuh lena.

‘Tiiiit’ bunyi mesej di telefonku mengejutkan aku dari tidur. Dengan mata yang masih rapat terpejam, aku meraba-raba mencapai telefonku sambil menggosok-gosok mata. Sudah pukul 1 tengah hari! Terkejut sungguh aku! Aku telah tertidur selama hampir 8 jam! Aku bingkas bangun. Tetapi duduk semula dan kemudian baring. Aku tersenyum sendiri. Bukankah peperiksaan sudah tamat? Aku terlupa.. Bolehlah aku bermalas-malasan hari ini. Segera aku membuka mesej yang baru aku terima tadi.

‘Tahniah cik Nurul Hanaa Aisyah! Anda telah pun tamat menduduki peperiksaan anda! Bilalah agaknya saya boleh merasa masakan anda? Inilah masanya untuk anda masakkan untuk saya!’ –Hisham.

Aku tersenyum lagi membaca mesej lucu Hisham itu. Malas aku hendak membalasnya. Peperiksaan sudah tamat. Mati kutu aku dibuatnya. Baru semalam ia berakhir, aku sudah tak keruan pagi ini memikirkan masa kosong yang begitu banyak. Tiba-tiba teringat pula pada emak dan abah di rumah. Ingin sahaja aku mencapai telefon dan menelefon emak. Tapi ketika ini pukul 9 malam di Malaysia. Pasti abah ada di rumah. Terpaksa lah aku tangguhkan dahulu. Aku mencapai tiket kapal terbangku di dalam laci yang aku beli 2 bulan lepas. Aku membelek-beleknya dengan teliti. Tarikh berangkat ialah 29 Mei 2004 dan tiba pada 30 Mei, hari Ahad. Pulang semula ke sini pada 1 Julai 2004. Sekejap sahaja cutiku kali ini. Memang aku tidak berniat untuk lama di Malaysia. Tarikh graduasiku dijangkakan pada 8 Julai 2004. Emak dan abah memang sudah bercadang untuk ikut bersama ke Ireland pada 8 Julai itu untuk menyaksikan anak bongsu mereka ini menerima ijazah dan sekaligus bergelar doktor. Insya-Allah…

Aku terasa seperti ada sesuatu yang mengganggu fikiranku yang telah lama aku tinggalkan tanpa penyelesaian. Baru aku teringatkan tentang abah dan calon pilihannya itu. Hati masih sakit, tetapi rinduku masih tebal pada abah. Aku bangun mencapai kotak suratku di tepi meja tulisku. Namanya sahaja kotak surat. Ia Cuma kotak kasut yang aku balut dengan pembalut berbunga-bunga warna merah hati. Aku letakkan poskad-poskad kiriman kawan-kawan lamaku yang sama-sama belajar di perantauan, surat dan kad-kad raya yang boleh dihitung dengan tangan sahaja jumlah nya serta gambar-gambar abah. Selama ini gambar-gambar itu aku letakkan dalam bingkai-bingkai yang cantik sebagai sumber inspirasiku untuk belajar. Tapi sejak tahun lepas, gambar-gambar itu telah aku keluarkan dan menyorokkannya di dalam kotak itu. Samalah seperti aku mengeluarkan abah dari hatiku dan menyorokkannya entah di mana di ruang fikiranku. Tapi hari ini, terasa rindu pula hendak melihat gambar abah. Aku menarik nafas panjang dan membuka kotak itu.

Lain yang aku cari, lain pula yang aku terjumpa. Kad kiriman Azmi, tunangku itu, aku baca sekali lagi…dan berulang-ulang kali lagi.. Azmi..Entah bagaimana lah dia. Entah bagaimana aku hendak menghadapi dirinya. Aku melempar kad itu ke tepi pintu bilikku. Tiba-tiba saja kemarahanku memuncak. Semua ini salah abah! Aku duduk di lantai menyandarkan badanku di katil sambil memeluk lututku. Azmi? Marahkah aku pada dia? Aku terasa seperti hendak mengoyak sahaja sampul kuning kad kiriman Azmi itu. Aku menekup wajahku sambil menangis.

Ah! Tak guna aku fikirkan semua ini lagi. Aku tidak sabar menunggu 29 Mei, 2 minggu dari sekarang. Aku akan pulang ke Malaysia. Akan aku selesaikan masalah ini segera. Tak mampu rasanya hatiku menahan derita begini. Mampukah aku menyerahkan diri ini kepada orang yang tidak aku kenali? Dengan cara dipaksa oleh abah pula? Adil kah itu namanya? Aku bingkas bangun, mandi, bersolat, bersarapan dan keluar dari rumah. Aku berjalan-jalan mengambil angin di luar. Entah ke mana hala tuju aku entah lah. Yang penting, hati yang gundah ini perlu aku hiburkan. Tanpa disedari, kakiku melangkah ke Tasik Lough. Aku memerhatikan pohon-pohon yang kelihatan agak rendang di tepi-tepi jalan. Anak-anak Irish berjalan dengan riang beriringan tangan dengan ibu atau bapa mereka. Baru pulang dari sekolah agaknya. Comel sungguh! Aku tersenyum sendiri. Aku duduk di bangku di tepi tasik itu memerhatikan air tasik yang tenang mengalir. Matahari tidak begitu terik. Namanya sahaja musim panas, tapi anginnya masih sejuk. Mujur aku ada membawa baju sejukku.

Begitulah hari-hari ku berlalu selepas habis peperiksaan. Setiap hari, aku bangun dan terus keluar menuju ke tasik itu. Kadang-kadang aku bawa roti untuk aku taburkan kepada burung-burung swan yang ada di situ. Beberapa orang Pakcik dan makcik Irish yang selalu berjalan setiap petang di situ pun sudah mula mengenaliku dan mula bersembang denganku. Aku gembira dengan kehadiran mereka bercakap-cakap dengan ku. Cuma yang menakutkan aku ialah anjing-anjing mereka yang comel itu, hendak bermanja pula dengan aku!




No comments: