Followers

Monday, December 6, 2010

~ calon pilihan abah (part 8)

Masa berlalu pantas…

Petang esok aku akan pulang ke Malaysia. Malam selasa yang lepas, aku telah menelefon emak memberitahu berita gembira tentang peperiksaanku. Abah seperti biasa masih di masjid ketika itu. Memang aku sentiasa terselamat daripada menghadapi abah. Emak menangis kerana terlalu gembira. Suaranya seperti sudah tidak sabar-sabar lagi hendak berjumpa denganku. Aku akan turun di Alor Setar. Mungkin emak dan abah lah yang menjemput. Kak Ngah tinggal di Alor Setar. Tetapi dia terlalu sibuk dengan kerjanya. Kak Ngah seorang peguam yang bergiat cergas dalam politik. Apa perjuangannya, aku sendiri tidak begitu mengambil tahu.

Aku memandang bilik itu. Dindingnya berwarna kuning, menceriakan bilikku. Aku sendiri tidak pasti sama ada aku akan tinggal di situ lagi atau tidak setelah pulang ke sini nanti. Semuanya bergantung kepada di mana aku ditempatkan untuk housemanship ku nanti. Sekiranya permohonanku untuk membuat houseman di bandar Cork itu diluluskan, bilik itu akan tetap menjadi bilikku lagi. Aku bergaduh agak hebat dengan abah sebelum pulang ke sini musim panas lalu. Abah mahu aku terus pulang ke Malaysia setelah tamat pengajianku. Pada mulanya, memang aku telah bersetuju begitu. Tapi setelah dipaksa oleh abah untuk menerima calon pilihannya, aku menjadi keras kepala. Aku mengambil keputusan untuk menyambung terus di sini. Aku sendiri tidak tahu masa depanku. Entah-entah aku akan tinggal di sini sampai sepuluh tahun. Agaknya sampai rambut aku ini sudah naik uban, baru aku hendak pulang. Entah lah..Terfikir pula aku tentang emak. Kasihan emak. Dia mangsa pertelingkahan aku dengan abah.

Aku mengemaskan baju-baju untuk dibawa pulang. Aku mengambil seplastik besar cerderahati yang telah aku beli di bandar tempoh hari untuk aku hadiahkan kepada keluarga dan saudara-mara. Abah? Untuk abah? Aku menghadapi masalah besar mencari hadiah untuk abah. Perlukah aku membeli hadiah istimewa untuknya sepertimana yang aku selalu lakukan selama empat tahun berturut-turut. Akhirnya, aku teringatkan jam abah yang terjatuh di dalam sungai ketika dia di kebun, seminggu sebelum berita pertunanganku dikhabarkan. Aku telah berjanji akan membelikan jam baru untuk abah. Jam yang aku beli tempoh hari memang mahal. Meskipun hati aku bengkak dengan tindakannya, tetapi dia tetap insan yang istimewa. Dia abahku. Mungkin hadiah ini dapat menyambung kembali kasih sayang abah padaku. Aku susun semua baju-bajuku dengan kemas di atas katil. Pening pula rasanya melihat baju-baju ini.

Aku keluar sebentar menuju ke Tasik Lough petang itu. Aku perhatikan tasik yang tenang itu dengan burung-burung nya.

..Mengelamun jauh nampak…Boleh aku duduk sama?” Tenunganku terhenti. Aku menoleh ke belakang. Hisham!

“Waalaikumussalam…oh..Hisham..emm..duduk lah..Kau pun ada kat sini ye?”

“Aku datang cari kau..” Hisham berhenti dan merenungku dari sisi. “Izzah kata kau ada kat sini”sambung Hisham. Aku berasa tidak senang dilihat begitu. Aku menginjak dudukku ke tepi supaya lebih jauh dengan Hisham. Malu aku rasanya duduk berdua di situ.

“Kau merenung ingatkan sapa ni Ana…Rindukan aku ye..”kata Hisham berseloroh. Senyumannya melebar. Aku tergelak mendengarnya.

“Ana..Boleh aku cakap sesuatu tak…”Tanya Hisham perlahan dengan nada agak serius. Terhenti ketawaku di situ. Aku seakan boleh mengagak apa yang bakal diperkatakannya. Tidak pernah aku mendengar suaranya se serius itu. Mataku masih memandang tasik.

“Cakaplah..”

“Ana, pandanglah aku. Kenapa kau macam tak suka aku kat sini?”

“Tak adalah…Kenapa, cakap lah…” Kataku sambil memusingkan badanku ke arahnya sambil tersenyum nipis.

“Ana…”Hisham terhenti di situ. Dia menundukkan kepalanya seolah-olah mencari perkataan untuk diperkatakannya. Perlahan-lahan kepalanya diangkat dan memandangku.

“Ana…Aku sayangkan kau..Aku nak ambil kau jadi teman hidup aku..Sudi tak kau…” Mata Hisham seolah-olah berkaca sedikit. Aku merenung Hisham dalam-dalam.. Hisham, Aku juga menyayangimu! Hisham, betapa aku gembira kalau kau ungkapkan ini dari dahulu lagi…Hisham…Aku tak mampu menyusun kata untuk ku jawab pada kau. Hisham merenung mataku seolah-olah mencari-cari sinar harapan.

Air mata aku mengalir perlahan-lahan dan jatuh dengan laju apabila aku menutup mataku. Seksa rasanya untuk aku ucapkan walau satu perkataan pun.

“Ana..kenapa menangis ana…Cakaplah something Ana.. Aku ada menyinggung perasaan kau ke…”Tanya Hisham lembut. Aku mengesat air mata yang mengalir di pipi. Aku tak mampu lagi duduk di situ. Aku tak mampu lagi melihat wajah Hisham. Aku bingkas bangun dan berjalan laju meninggalkan Hisham tanpa menoleh ke arahnya.

“Ana..!!” Jerit Hisham dari jauh. Beberapa orang Irish memerhatikan aku yang sedang tersedu menahan tangis.


No comments: